TASEK GELUGOR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa bersedia dan terbuka untuk menerima kembali kemasukan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sebagai agensinya.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sentiasa menyokong perkara itu jika ia lebih menguntungkan masyarakat Bumiputera dari segi keusahawanan, perusahaan dan pembangunan ekonomi.
“Asalnya Perda memang di bawah KKLW, di bawah agensi wilayah seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
“Namun Perda dikeluarkan perdana menteri pada waktu itu iaitu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kerana nak bagi tumpuan khas kepada Perda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBex) di Dataran Transformasi di sini, hari ini.
Beliau berkata jika Perda, yang dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 2005 dipulangkan kepada KKLW, kementerian bukan sahaja menyediakan pelbagai program khusus, malah turut mempunyai peruntukan khas untuk agensi berkenaan.
“Bagaimana pun keputusan untuk mengembalikan Perda kepada KKLW masih dalam pertimbangan MOF (Kementerian Kewangan) dan EPU (Unit Perancang Ekonomi),” kata Ismail Sabri.
Sementara itu Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta agensi itu dimasukkan kembali di bawah KKLW lebih kurang dua tahun lalu.
“Perkara ini bukan mudah, perlu melalui pelbagai proses dan akan ambil masa yang lama (untuk diluluskan). Setakat ini respons diterima adalah baik dan pihak kementerian (KKLW) dan JPM (Jabatan Perdana Menteri) tiada halangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) yang dilaksana sejak 2014 berjaya mewujudkan 937 perniagaan baharu dengan nilai terkumpul sebanyak RM17.8 juta di samping mewujudkan kira-kira 850 peluang pekerjaan.
“Sehingga kini geran bernilai hampir RM630,000 telah dimanfaatkan oleh 42 peserta Tube untuk memula dan menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang.
“Mengenai PenBex, selain menjadi medan business matching atau business networking, ia juga berperanan sebagai platform kepada agensi-agensi kerajaan untuk kenal pasti usahawan berpotesni untuk pasaran dalam dan luar negara,” katanya.