CREDIT GUARANTEE CORPORATION(CGC) 2016 MENGATAKAN SEKTOR PEMBINAAN DIJANGKA BERTAMBAH BAIK

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan dijangka bertambah baik dengan adanya beberapa projek utama yang sedang dilaksanakan.

CIMB Bank Berhad menandatangani MOU bersama CGC untuk meningkatkan pembiayaan produk ECL

CIMB Bank Berhad menandatangani MOU bersama CGC untuk meningkatkan pembiayaan produk ECL

Menurut Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation (CGC), Mohd Zamree Mohd Ishak, antaranya adalah projek pembinaan jalan raya Pan Borneo dan projek MRT laluan kedua.

Katanya, projek yang bernilai berbilion ringgit itu akan membantu pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat sebagai vendor.

“Sektor yang paling terjejas (dalam situasi ekonomi yang tidak menentu) ialah sektor pembinaan tetapi kami kekal optimis dengan pertumbuhan sektor tersebut.

“Ini kerana terdapat beberapa projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan seperti jalan raya Pan Borneo, Kompleks Petroleum Pengerang di Johor, hab pembangunan halal dan juga laluan kedua MRT,” kata Zamree.

Menurut Zamree, PKS memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu, katanya CGC bekerjasama dengan CIMB Bank Berhad dalam menyediakan pembiayaan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu melalui produk Pinjaman Bersih Perusahaan (ECL).

“Dengan ini, kami berharap dapat memainkan peranan kami dalam menyokong aspirasi negara bagi PKS untuk menyumbang 41 peratus dalam KDNK negara menjelang 2020,” kata Zamree.

ECL kini menyediakan pembiayaan bernilai RM1 bilion bagi memanfaatkan lebih banyak PKS dari semua sektor.

Ini merupakan peningkatan RM750 juta berbanding pembiayaan RM250 juta tahun lepas.

Pada 2015, ECL memanfaatkan lebih 400 PKS dengan purata pinjaman antara RM350 ribu hingga RM500 ribu.

“Apa yang penting ialah seperti yang dikatakan Zamree tadi, kadar pertumbuhan PKS lebih pantas daripada kadar pertumbuhan negara.
“Oleh itu, PKS menjadi fokus utama kami dari segi sumbangan kepada KDNK dan juga sumbangan kepada tenaga kerja negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbankan Pengguna CIMB, Renzo Viegas

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, pada 2015 PKS menyumbang kepasa 36 peratus pendapatan negara dan 65 peratus tenaga kerja.

Ia turut menyumbang kepada 18 peratus eksport negara.