Bank Rakyat, bank koperasi Islam terbesar di Malaysia telah mengumumkan dividen tunai sebanyak 13%, berjumlah RM385 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2015 berbanding 15% pada 2014.
Bank tersebut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.01 bilion berbanding RM2.19 bilion dicatatkan pada 2014.
Semasa mengumumkan keputusan kewangan bank itu, Pengerusi Bank Rakyat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Zainal berkata dividen tersebut diumumkan berdasarkan pengukuhan perolehan sebanyak RM6.43 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas berbanding RM6.06 bilion yang diraih pada 2014.
“Dividen yang diumumkan bagi 2015 lebih rendah berbanding 15% pada tahun sebelumnya, tetapi 13% dianggap tinggi dengan keadaan ekonomi semasa.
“Namun, kami akan berusaha untuk meningkatkan pulangan dividen antara 13-16% pada masa depan,” kata Abdul Aziz kepada pemberita di sini hari ini.
Bank tersebut menyumbang 2% atau RM39.2 juta daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1% atau RM19.6 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
“Kami berharap jumlah sumbangan bagi 2015, yang berjumlah RM58.80 juta, akan membantu sektor koperasi di negara ini,” katanya.
Abdul Aziz berkata baki pembiayaan kasar Bank Rakyat, tahun ke tahun, mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8% atau RM2.36 bilion kepada RM64.46 bilion walaupun langkah ketat oleh pihak berkuasa untuk menangani petumbuhan hutang isi rumah.
“Pembiayaan kasar pengguna turut meningkat sebanyak RM2.87 bilion kepada RM59.58 bilion berbanding RM56.71 bilion pada 2014,” kata Abdul Aziz.
Jumlah deposit naik 3.6% atau RM2.46 bilion kepada RM70.98 bilion berbanding RM68.52 bilion dicatatkan pada 2014.
Jumlah aset meningkat 3.5%, tahun ke tahun, kepada RM92.40 bilion berbanding RM89.31 bilion dicatatkan pada 2014 sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Abdul Aziz menyifatkan prestasi bank itu sebagai cemerlang berdasarkan tahun yang mencabar berikutan kesan daripada perkembangan dalaman dan luaran.
“Bagaimanapun, kami terus mengekalkan kedudukan kami sebagai bank koperasi Islam terbesar di negara ini dan menerajui institusi kewangan Islam dari segi keuntungan,” katanya.