BANK DUNIA MENGURANKAN UNJURAN PERTUMBUHAN GLOBAL DARI 2.9% KEPADA 2.4% – TAHUN 2016

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menyemak turun unjurannya terhadap pertumbuhan global kepada 2.4 peratus bagi tahun ini berbanding 2.9 peratus yang dibuatnya pada Januari lepas.

71465383338_TheWorldBank

Januari lalu, unjuran Bank Dunia terhadap pertumbuhan global adalah 2.9 peratus.

Ia berikutan perkembangan semasa termasuk kelembapan pertumbuhan ekonomi negara maju, harga komoditi yang rendah, kelemahan perdagangan global serta pengurangan aliran modal.

Menurut maklumat kemas kini terbaharu Laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia, pasaran baharu muncul berteraskan eksport komoditi serta kalangan negara membangun ternyata bergelut agar selaras dengan penyusutan harga minyak mentah dan komoditi utama lain yang merupakan separuh daripada punca semakan turun itu.

“Pertumbuhan di negara-negara ekonomi itu dijangka berkembang pada kadar 0.4 peratus tahun ini iaitu berkurangan sebanyak 1.2 mata peratus berbanding unjuran pada Januari lepas.

“Perkembangan melibatkan kelembapan pertumbuhan itu jelas membuktikan betapa pentingnya untuk negara-negara ini melaksanakan dasar yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi serta mempertingkatkan kehidupan mereka yang dibelenggu kemiskinan tegar,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, Jim Yong Kim dalam satu kenyataan, hari ini.

Sambil menyifatkan perkembangan ekonomi itu akan kekal sebagai pemacu utama dalam usaha pembasmian kemiskinan, Jim berkata ia turut menjadi antara alasan kebimbangan Bank Dunia terhadap kelembapan pertumbuhan yang ketara di negara-negara membangun dan pengeksport komoditi berikutan tekanan harga
komoditi.

Bank Dunia turut menjangkakan pertumbuhan di rantau Asia Timur dan Asia Pasifik adalah lebih perlahan kepada 6.3 peratus pada 2016 manakala pengembangan China disasarkan susut kepada 6.7 peratus sebagaimana diunjurkan pada Januari lepas.

Rantau itu, kecuali China, dijangka berkembang pada 4.8 peratus pada 2016 iaitu tidak berubah berbanding 2015.

Prospek itu jelas menunjukkan kelembapan pertumbuhan China seiring perkembangan kukuh aspek pembaharuan stukturnya dan rangsangan dasar yang sewajarnya.

Pertumbuhan di pelusuk lain rantau itu juga dijangka didorong peningkatan pelaburan di beberapa negara besar seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand selain kadar penggunaan yang kukuh berikutan harga komoditi yang rendah di Thailand, Filipina dan Vietnam.